Sabtu, 17 November 2007 1:53:00 PTG

Al-Quran, Yasin amalan Noraidah cemerlang UPSR

Oleh SOPI SAMAILE

JOHOR BAHRU 15 Nov. – Kesusahan hidup sebagai seorang anak pemandu lori tidak menghalangnya untuk mencapai keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) malah beliau bercita-cita untuk menjadi doktor pada suatu hari nanti agar boleh menyembuh penyakit barah usus yang dialami ayahnya ketika ini.

Walaupun menyedari perjalanannya untuk mengejar cita-citanya itu masih panjang, namun Noraidah Khamis bertekad mahu lebih berjaya pada masa akan datang malah ingin menjadi kebanggaan ayahnya Khamis Mohd. Yassin, 49, yang banyak memberi sokongan kepada murid itu.

Anak bongsu daripada tiga beradik dari Sekolah Kebangsaan Taman Daya (SKTD) di sini memberitahu, tiada sebarang petua yang diamalkannya untuk memperoleh kejayaan pada hari ini tetapi dia suka membaca al-Quran dan surah Yasin dalam menguatkan keyakinan untuk berjaya dalam pelajaran.

Selain itu, katanya, sokongan daripada keluarga memainkan peranan yang begitu penting dalam kejayaannya kerana mereka merupakan sumber inspirasi untuk dia mencapai cita-cita.

‘‘Ayah sentiasa memberi sokongan walaupun dia dalam keadaan yang kurang sihat malah menggalakkan saya mengamalkan membaca al-Quran dan surah Yassin akan saya pegang sampai bila-bila,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noraidah menambah, faktor lain yang membolehkannya mencapai kejayaan itu dan tidak kurang pentingnya adalah tumpuan 100 peratus di dalam kelas sewaktu pengajaran berlangsung dan mendapatkan input menerusi kelas tambahan.

Katanya, sewaktu di rumah pula, dia mendisiplinkan diri untuk mengulang kaji pelajaran selama dua jam sehari dengan memberi lebih tumpuan kepada subjek yang lemah khususnya matematik.

Sementara itu, ayahnya, Khamis memberitahu, beliau memang menggalakkan anaknya itu menjadikan pembacaan al- Quran dan surah Yassin sebagai kekuatan diri dalam memperoleh ilmu pengetahuan.

‘‘Saya berbangga dengannya walaupun sebelum dia menduduki peperiksaan saya telah dimasukkan ke hospital tetapi saya nasihatkannya supaya buat yang terbaik.

‘‘Dia seorang yang tabah dan dapat mengatasi segala cabaran yang dihadapi dan ia adalah hasil kekuatan yang diperoleh daripada amalannya membaca al-Quran dan surah Yassin,” katanya.

Berbeza pula dengan seorang lagi murid yang memperoleh 5A di sekolah yang sama, Nicole Dinesha Pathmanathan, 12, menjadikan hobinya mendengar koleksi lagu penyanyi Uji Rashid sebagai langkahnya memperbaiki diri dalam penguasaan Bahasa Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, perkara paling penting adalah menumpukan perhatian ketika guru mengajar manakala mendengar lagu-lagu bahasa Melayu adalah sebagai alat tambahan yang membantu memantapkan diri dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia.

‘‘Sebelum ini, penguasaan Bahasa Malaysia agak lemah tetapi saya mengambil inisiatif dengan mendengar lagu-lagu penyanyi Uji Rashid sebagai usaha meningkatkan pemahaman dalam bahasa tersebut.

‘‘Pemahaman saya semakin kukuh memandangkan penggunaan lirik dalam lagu tersebut adalah mudah, indah malah terdapat lagu berlirikkan rangkap pantun, maka lebih mudah difahami,” katanya.

Sementara itu, seorang murid Sekolah Kebangsaan Convent Johor Bahru, Hajar Najihah Mohd. Yusof, 12, memberitahu, kejayaannya memperoleh 5A dalam UPSR disebabkan dia tidak segan atau malu untuk bertanya dengan guru sekiranya kurang faham berhubung sesuatu mata pelajaran.

Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, berkongsi ilmu dengan rakan-rakan juga satu cara beliau memahami sesuatu mata pelajaran kerana perkongsian seumpama itu ternyata terbukti apabila rakan-rakan yang lain turut cemerlang dalam UPSR kali ini.

‘‘Saya juga belajar secara berkumpulan dengan rakan-rakan, mengulang kaji pelajaran selama tiga jam setiap hari dan menyertai kelas tuisyen,” ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia

0 Comments On "Al-Quran, Yasin amalan Noraidah cemerlang UPSR"

Bilangan Pelawat

Blogger Templates

SMK Taman Universiti 2

SMK Taman Universiti 2
Logo Sekolah

Masa Itu Emas

Kuala Lumpur

Kotak Pencarian


Free shoutbox @ ShoutMix